music

Tuesday, October 13, 2009

Kristal yang Hilang...?

Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam luarbiasa...mudahan diri sentiasa berada dalam limpah Rahmat Allah S.W.T..

Alhamdulillah..hari ini hati penuh girang merasmikan senaskhah Quran Tafsir Per kata yang baru dibeli daripada seorang sahabat. Seronok sangat rasanya membaca ayat-ayat al-Quran dengan mengetahui maksud setiap patah perkataan yang disebut. Terima kasih kepada hamba Allah yang mengilhamkan Quran sebegini kerana telah memberi kegembiraan kepada insan sepertiku sekaligus menggalakkan orang ramai agar mendalami isi kandungan al-Quran. Mudah-mudahan semangat untuk membaca al-quran sentiasa diperbaharui..

Alangkah bagusnya andai kita semua dapat menguasai Bahasa Arab dengan baik kan..? teringat pulak kisahku suatu masa dahulu....Hmmm dulu, pernahla tuan rumah belajar Bahasa Arab kerana ia merupakan suatu subjek tambahan yang wajib dipelajari oleh semua student form1-form 4 di SMACH. Siap kena ambik exam SRP lagi..tapi bukan form3 tapi di form4. Mgkin sebab ia hanya subjek tambahan, jadi bila diambil di form 4 maka tak akan mengganggu konsentrasi pada subjek2 lain....Mgkin ramai yang ingat kami akan score sbb ambik SRP 1993 B.Arab only..:) tapi malangnya ramai yang fail dari yang lulus,yang lulus hanya boleh dibilang dengan jari...betapa tiada penekanannya terhadap subjek ini.

Tapi...jangan terkejut kalau tuan rumah dapat score A. Aku pun tak tahu macamana boleh dapat A. The only person yg dapat A dalam kalangan majoriti F. Ustaz kami memandang aku dengan kerutan 1000 di wajahnya lalu terpacul soalan dari mulutnya.."Macamana awak boleh dapat A?" Maafla ustaz...rasanya tiada jawapan yang keluar dari mulutku waktu itu..hanya senyuman kegembiraan dan aku meninggalkan ustaz dengan wajah kehairanannya. Kesian ustaz...

Tiada jawapan untuk ustaz...ucapan terima kasih untuk ustaz pun aku terlupa kerana agak tersinggung dengan soalan itu..tapi ustaz, yang pasti aku gembira mempelajari B.Arab. Alhamdulillah..setiap patah perkataan dan nahu yang ustaz ajar meresap masuk diingatan dan disimpan hingga ke hari exam. Memang 'homework' yang diberi tak terbuat ustaz...tapi bukan bermakna aku tak suka belajar arab, tapi tak buat sebab orang lain pun tak buat jugak...itulah syndrome budak sekolah...termasukla aku. Malu nak buat sesuatu yang baik...

Mudah-mudahan dengan memiliki Quran Tafsir Per kata ini akan dapat menambah cinta ku pada Al-Quran dan menyemai semula cintaku pada Bahasa Arab, bahasa AL-Quran yang telah kutinggalkan mempelajarinya sejak tahun 1993...InsyaAllah akan ku cari semula kristal ku yang hilang.....Ya Allah, permudahkanlah segalanya urusanku baik urusan dunia mahupun urusan akhirat.

Amin. Wassalam.

Sunday, October 4, 2009

Lagi-lagi Raya...Syawal 1430H dalam kenangan.

1) Majlis Sambutan Aidilfitri PAPISMA Kelantan pada hari sabtu, 3 Okt 2009 bertempat di Perkarangan Masjid Kg Laut, Nilampuri..

Majlis yang serba ringkas di bawah wakaf kayu berukir klasik, sambil menikmati panorama taman yang cukup indah...dengan angin yang sepoi-sepoi bahasa ..ditemani juga tempias bahang mentari yang agak menyengat...:)


Selamat Hari raya diucapkan kepada sahabatku Zahrul Laili dan Hisyam yang datang sedondon biru kehijauan...Wah..sungguh tertib sekali anak2 dia makan..Maaf ye Cikli, letak gambar kat sini..:)

Ini pula gambar tuan rumah yang juga datang sedondon...balas dendam sebenarnya sebab waktu raya anak-anak tak bekerjasama dan enggan dipakaikan baju melayu..:)

2) Sekitar Jamuan raya dan sambutan Birthday Staf Jabatan Patologi pada 4 Oktober 2009, bertempat di Jabatan Patologi, USM.

Majlis pemotongan kek diketuai oleh Prof NHO bagi meraikan birthday staf bagi bulan Julai-September. Special betul kek kali ni...Cheese and coklat cake dari Secret Recipe berharga rm70 sebijik.

Ini pula wajah-wajah ceria Mpath (except Dr safiya at the most right..). Maklumla..jarang2 dapat berposing together macam ni sbb masing2 sibuk . Senyum pun senyum jugak tapi sebenarnya masing-masing tak sabar menunggu majlis bermula tu.. Perut dah berbunyi mintak diisi apatah lagi bila memandang pelbagai variasi juadah raya yang begitu menyelerakan....

Sempat ambil gambar 4 kek yang masih intact ni..hmm..dalam masa beberapa minit jer kek2 secret recipe ni cuma tinggal habuk jer.

Antara menu favourite tuan rumah ni...SOTO. Wah...sedap betul. 2 round tuan rumah makan.. bukan sebab makan banyak, tapi sebab mangkuk yang disediakan terlalu kecil :)

Ini pula menu yang Wajib ada pada setiap jamuan raya...Sate, nasi himpit +uah kacang, rendang dan ketupat (kat belah kanan...x termasuk dalam gambar..). Ada satu lagi tu menu utamanya..Roti jala dengan kuah kuzi. Pendek kata memang full stomach la hari ni...

Oklah... dalam kita bergembira dengan suasana Syawal ni, jangan lupa ada pihak di sana yang hidup menderita. Hilang sanak-saudara...musnah harta benda. Jom.. sama-samalah membantu mangsa2 di Padang sana sama ada dengan tenaga(misi kemanusiaan) atau wang ringgit bagi yang tidak mampu ke sana.. Semoga Allah murahkan rezeki kita dan menghindari kita daripada sebarang bentuk bencana..Amin.. wallahua'lam.

Monday, September 28, 2009

CERITA LEBARAN 09


Raya tahun ini tiada bezanyanya dengan tahun2 sebelum ini. Cuma cabaran sebagai ibubapa makin bertambah bila 2 orang anak lelaki makin membesar dan punyai karenah yang tersendiri. Pagi raya pertama, seperti tahun2 sebelumnya kami akan beraya di belah keluarga suami. Kali ini di pagi raya, rumah riuh dengan tangisan anak2 kami kerana tak mahu dipakaikan dengan baju melayu.Dah habis cara dah memujuknya... memang hal ini sudahpun dijangka tapi hati masih mgharapkan mereka akan terkesan dengan pujukan sepupu sepapat yang berpakaian baju melayu, tapi rupa2 tidak... jadi terpaksalah beraya dengan baju Thomas dan sembahyang raya pun dengan baju itulah...

Menu di pagi raya masih sama dengan raya2 sebelum ini...menu pilihan mentua...nasi minyak, sate dan nasi himpit. Dah banyak tahun dah menunya tak berubah..yang berubahnya menu pada hari raya ke-2, kami buat Spaghetti Bolognes dan makaroni goreng... Menu spaghetti ni diberi oleh Tirana, TPM. Tq Tirana..sedap jugak. Raya ke -3, husband dah keje..aku dan anak2 jer kat kampung. Buat mee goreng jer..

Ada raya ke- 4 ker? mestilah kan.. sebab kebanyakan orang kata raya tu sebulan...tak apalah, tak ada salahnya kita meraikan bulan Syawal ni dengan suasana seperti hari raya, saling kunjung mengunjung, ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan sesama kita. Kalau di bulan- bulan lain tu... bila tetiba jer kita berpelukan mintak maaf nampak lain macam pulak...nanti orang kata: "aik, buang tabiat ke dia ni...dah tak lama hidup ker?" Biasalah manusia...

Sebut pasal kunjunagn ni..terima kasih kepada nurul,gold2rich sekeluarga kerana berkesempatan datang ke rumah kamai pada hari Jumaat raya ke 6 baru-baru ini.. Rugi betul tak sempat nak bergambar sebab banyak khusyuk sangat bersembang pasal mas dinar, public dinar dan macam-macam..

Begitulah al-kisahnnya cerita kami untuk dikongsikan..moga ketemu lagi... Wassalam

Tuesday, September 15, 2009

BICARA RAMADHAN (bab 2)

Assalamualaikum pembuka bicara pada pagi yang sungguh indah ini, di penghujung Ramadhan yang hanya tinggal 5 hari je lagi untuk kita mengecapi nikmat dan suasananya.



Indah sungguh melihat pemandangan di sekitar pusat2 membeli-belah. Semua orang seakan enggan melepaskan peluang keemasan membeli dengan harga yang begitu murah. Tawaran harga begitu hebat hingga 80%...Harga rm100 boleh turun sampai rm20..memang berbaloi kan? Rugi bagi sasapa yang tidak berpeluang untuk ke sana terutamanya di sogo,sebuah pusat membeli belah yg dikenali oleh semua masyarakat terutamanya yang tinggal di sekitar KL.

Alangkah indahnya andai umat islam menyedari bahawa terdapat tawaran yang lebih hebat di bulan ramadhan ini yang jauh lebih hebat daripada tawaran di SOGO.. Sebenarnya bulan RAMADHAN itu sendiri merupakan bulan promosi. Sudah tidak ada bulan lain sehebat bulan Ramadhan dari segi pulangan ibadah dan pahala. Subhanallah...menyedari hakikat ini manusia pun berlumba-lumba mengadakan promosi juga iaitu promosi jualan...Alahai diri, mengapalah terkejar-kejarkan sangat promosi dunia dan tak kesah dengan promosi akhirat ni...?

"Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna...." satu bait lagu yang tertanam dalam diri dari awal bulan Ramadhan. Namun sekadar tanam tapi rupanya tak tumbuh-tumbuh, kerana kesibukan duniawi menyebabkan terlupa nak menyiramnya. Semakin umur menginjak dewasa rupanya kalah dengan ibadah yg dilakukan di zaman kanak-kanak dulu. Terasa malu dengan diri sendiri. "Ya Allah, ampunkanlah dosa hambaMu ini dan berilah aku peluang untuk bertemu dengan Ramadhan akan datang"


Mudah-mudahan apa yang dilakukan dalam kehidupan seharian dikira sebagai amalan ibadat yang telah digandakan. Sesungguhnya Allah s.w.t Maha Pemurah...SELAMAT HARI RAYA dan JGN LUPA MEMBAYAR ZAKAT FITRAH.

Monday, September 7, 2009

Hari Ini, Rumah Dan Tupperware..

HARI INI hari cuti umum 17 ramadhan sempena menghormati hari Nuzul Quran. Peristiwa ini telah berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke 41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Al-Quran pula adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW maka ia memberi makna terlalu besar kepada umat Islam.jadi memanglah wajar hari ini disambut oleh semua umat Islam..



HARI INI hari yang agak meletihkan kerana terpaksa berkemas dan menyediakan lauk-pauk untuk 2 buah rumah, separuh hari di rumah mentua dan separuh hari lagi di rumah sendiri. Setelah 2 minggu meninggalkan rumah kerana mengerjakan umrah di Tanah suci Mekah, rumah yang ditinggalkan penuh debu, tahi cicak dan peti ais pun mula dipenuhi kulat2 yang tidak diundang beserta dengan aroma bau yang rasanya semua orang sedia maklum. InsyaAllah...esok mereka akan balik...jadi kami akan menyambut mereka bukan sekadar dengan diri kami tapi dengan rumah yang bersih.



HARI INI mata tidak puas memandang deretan Handy cool di tepi pintu peti ais kami. Dah sekian lama teringin nak tukarkan botol2 air lama dengan botol air tupperware tapi almaklum je lah harga setiap satu tupperware ni boleh tahan jugak. Bila jumpa handy cool 1 liter ni dengan harga promosi yang agak berpatutan, aku tidak melepaskan peluang ni dan telah membelinya sebanyak 4 biji dengan harga ahli RM 80 lebih total...hmmm rasa puas hati...hadiah untuk diri sendiri..lagipun beli dengan duit sendiri...:). Aku ni memang peminat tupperware...rasa berbaloi beli walaupun harganya agak mahal jika dibandingkan dengan bekas2 plastik yang lain. tapi kata orang alah membeli tapi menang memakai...


Deretan handy cool warna kuning 4 set di bahagian atas untuk simpanan air masak yang disejukkan. 2 handy jug kat bawah tu yang dah lama...untuk simpan minuman kegemaran anak2, air oren dan tea o atau sirap..

Botol2 air lama yang digunakan sebelum ni untuk diposkan ke kampung..

Antara koleksi tupperware untuk kegunaan harian...banyak lagi yang tersimpan..

dalam kabinet dapur pun penuh dengan tupperware...


HARI INI dan hari-hari seterusnya...beginilah keadaan rumah menjaga 2 heroes yang semakin membesar. Mainan yang bersepah tidak boleh dikemaskan kecuali waktu mereka tidur.. Nak berjalan pun susah. Bila bangun jer dari tidur cari mainan balik dan sepah2kan semula..kalau mainan2 ni disimpan, habis barang2 dapur,sofa, kusyen dan barang2 rumah lain akan jadi mainan mereka. Aduhai...walau apapun hati tetap gembira kerna di sebalik rumah yang bersepah dan selerak inilah wujudnya wajah2 insan tersayang.... Andai rumah kemas dan rapi itu tandanya mereka tiada di sisi... wallahua'lam.


Realiti keadaan rumah yang bersepah most of the time.


P/s : Catatan ini adalah catatan semalam,7 september, hari Nuzul Quran, tapi hanya berkesempatan poskan hari ini sebab semalam 2 heroes telah datang mengoffkan my PC dan menarikku untuk temankan mereka menonton TV. Papanya on call dan kalau ada papanya pun tak boleh entertain mereka seperti dulu lagi kerana sibuk menyiapkan dissertation.

Mudahan diberkati Allah hendaknya...


Wednesday, September 2, 2009

Pergi Tak Kembali..





Semalam aku telah jalankan post-mortem ke atas 3 bodies. Semuanya muda, Melayu dan ketiga-tiganya penunggang motorsikal dan telah meninggal di tempat kejadian. Sorang lelaki, 27 dari Bachok, sorang lagi wanita, 30 juga dari Bachok dan yang terakhir pelajar Sek Men Panji, lelaki ting 4. Bila dah biasa berurusan dengan jenazah ni, hati dah makin kebal dan perasaan pun makin kurang rapuhnya. Namun bila memandang ahli keluarga...anak2 kecil yg kehilangan ibu dan ibubapa yang kehilangan anak dalam sekelip mata , hati menjadi sayu. Alangkah sedihnya bila anak yang ditatang bagai minyak yang penuh sedari kecil telah pergi tanpa diduga dengan begitu pantas sekali. Melihatkan ibubapa yang menahan sebak..hati hanya mampu berdoa agar mereka dikurniakan ketabahan.



Begitu berbeza sekali keluarga muslim menerima hakikat kematian berbanding dengan keluarga non-muslim. Alhamdulillah...itulah kelebihan seorang Islam yang penuh redha menerima ketentuan Ilahi kerna apa yang kita ada di dunia ini hanyalah pinjaman semata. Walau sesayang manapun kita padanya, sampai masanya akan pergi jua sama ada lambat atau cepat sahaja.



Kepada pengunjung blog ini yang menunggang motorsikal harap lebih berhati-hati di jalan raya. Memang kita tidak mampu menolak ajal tapi sekurang-kurangnya kita berwaspada kerana di jalan raya kita adalah golongan yang berisiko tinggi atau vulnerable.



p/s : tapi kebanyakan kes yang diterima, kesalahannya pada penunggang kenderaan besar dan juga kereta. Mereka kurang memandang motor2 semasa cross junction atau cross road..kesian orang yang bermotor, menjadi mangsa kecuaian orang lain.



Tuesday, August 25, 2009

EVOLUSI PENGHAYATAN RAMADHAN..(cerita Ramadhan bab1)

Assalamualaikum dan Selamat meneruskan ibadah puasa kepada pengunjung blog yang beragama Islam...





Suatu ketika dulu Ramadhan sangat dinanti-nantikan kerana dengan tibanya Ramadhan menunjukkan raya dah dekat..itulah yg berada dalam fikiran seorang budak2. Rasanya almost every children akan berfikiran begitu. Apa tidaknya kerana zaman dulu hanya sekali setahun dapat merasa baju baru dan sekali setahun jgk dapat kumpul duit dengan jumlah yg agak byk yg mana tak akan dapat merasanya pada hari2 biasa. Maka puasa dilalui sepenuhnya seawal standard 1 semata-mata untuk beraya sakan. Tambahan pula, mak kata kalau sesiapa berpuasa penuh baru dapat raya...dengan begitu bangganya dapat bercerita pada kawan-kawan kerana dapat berpuasa penuh dan yang paling gembira dapat pujian daripada ahli keluarga, mak, ayah, kakak2 dan abang2. Itu adalah faktor pendorong kanak-kanak...



Dalam usia 8-9 tahun, tujuan berpuasa agak berlainan...mungkin tidak ada pada fikiran orang lain tapi inilah yang ada dalam fikiranku suatu masa dahulu. Aku berpuasa waktu tu untuk kumpul pahala untuk diberikan pada mak dan ayah... Orang kata (tak boleh quote siapa yang kata sebab dah lupa...) budak-budak yang belum akil baligh berpuasa tak akan dapat pahala kerana belum ada buku catatan dosa dan pahala...sebaliknya segala ibadah akan diberikan pahala untuk ibubapa dan segala dosa akan ditanggung oleh ibubapa. Fuh...kenyataan ini begitu memberi kesan pada diriku. Dek kerana kesiankan mak dan ayah yang bekerja keras siang dan malam untuk cukupkan makan pakai 11 org anak, aku berpuasa utk beri hadiah pahala kepada mereka. Walaupun begitu letih dan dahaga kerana terpaksa berjalan kaki sejauh 2 batu dari rumah ke sekolah..namun diri tekad tidak akan berbuka puasa kerana takut mak ayah mendapat dosa...



Bila umur makin meningkat...dalam 10 tahun dan ke atas, corak pemikiran pun makin berubah...Tujuan berpuasa pun of course berubah. Waktu tu diri tekad berpuasa untuk mendapat kasih sayang Allah. Ustazah kata kalau kita mahu berjaya dalam hidup kita mesti berdoa pada Allah s. w.t , dan sebelum Allah menunaikan hajat kita, kita mestilah buat dulu apa yang Allah suruh. Bila Allah sayang maka dapatlah apa yang kita mahukan. So..apa lagi...memang banyak sangatlah benda yang ingin diminta. Antara perkara yang sentiasa didoakan lepas sembahyang adalah....nak jadi budak terpandai, nak dapat no 1 dalam kelas, nak cemerlang dalam setiap peperiksaan dan nak capai cita2 untuk jadi orang yang berpangkat besar dan bergaji besar agak dapat tolong mak, ayah dan ahli keluarga...main pun main jugak, tapi hasrat hati tetap besar sejak dari kecil lagi. Maka setiap tahun bila dapat berpuasa penuh terasa puas hati kerana telah mendapat kasih sayang Allah...Waktu ni hati tetap rasa bangga tapi tidak diluahkan kerana dah mula paham bahawa ibadah yang dibanggakan tak akan dapat pahala. Hati terasa damai kerana merasakan diri dikasihi Allah, sementelah pula apa yang didoakan untuk dapat no 1 dan jadi budak pandai memang menjadi realiti.......



Bila diri meningkat dewasa di alam sekolah menengah dan universiti, cabaran dalam hidup makin meningkat. Konsep berpuasa masih berlegar ditakuk lama yakni mendapat kasih sayang ALLAH yang optimum bagi melepasi segala rintangan dalam hidup tapi bukan lagi fokus duniawi sahaja malah untuk akhirat juga... Seiring dengan peningkatan usia, maka minda pun makin terbuka luas...Bulan puasa disambut lebih girang lagi kerana merasakan itulah bulan bonus tahunan. Setiap amalan akan digandakan. Masa dihabiskan untuk perbanyakkan amalan. Sembahyang sunat diperbanyakkan...Quran diulang baca kerana setiap huruf yg dibacakan akan digandakan pahalanya. Doa dan doa berulang kali apa sahaja yang dihajati dan yang terlintas di hati..


Berbaju biru, sedang tekun menjawab soalan peperiksaan semasa sekolah menengah


Kini...usia makin meningkat. Life is very busy..anak2, suami, ibubapa (sendiri dan mentua), kerjaya...semuanya perlu diuruskan dengan bijak..Ibadah puasa masih perlu dijalankan dengan baik.. Namun adakah penghayatan Ramadhan masih tetap sama seperti cerita2 di atas? Hmm... zaman berubah..takkan pemikiran tidak berubah...bagaimana pula penghayatan Ramadhan pada usia begini dan dengan kesibukan begini? Nampaknya perlu bersambung dalam cerita Ramadhan bab2..



Sesungguhnya apa jua yang baik itu datangnya dari Allah s.w.t dan yang buruk itu datangnya dari kelemahan dan kedhaifan diriku sendiri. Cerita di atas sekadar berkongsi. Mudahan ada manfaat untuk semua. SELAMAT BERPUASA. Wassalam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Sudi-sudilah tinggalkan kenangan di sini. Moga Ukhuwwah berpanjangan..TQ

PERMATA HATIKU....